Friday, December 12, 2008

Kerjaya Jururawat Lelaki Kerjaya Mulia

بسم الله الرحمن الرحيم

KOTA BAHARU, 28 Jun (Bernama) -- Kerjaya sebagai jururawat lelaki kini semakin menarik minat golongan itu yang tidak lagi malu berkecimpung dalam bidang yang lebih sinonim dengan kaum wanita.

Pemangku Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Zaidun Kamari berkata pihaknya menerima respon memberangsangkan daripada pemohon lelaki setiap kali pengambilan baru jururawat dibuka.

"Setiap kali pengambilan baru dibuka, kita terima banyak permohonan dari kaum lelaki untuk berkhidmat sebagai jururawat."

"Pada sesi pengambilan jururawat yang lepas, kita mengambil lima jururawat lelaki dan untuk tahun ini pula, kita menawarkan 10 tempat kepada jururawat lelaki," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara HUSM dengan Kolej Kejururawatan Murni dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM).

Kolej Kejururawatan Murni diwakili Ketua Eksekutifnya, Ridwan Shoib manakala KPTM diwakili Dr Ahmad Roslan Johari.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak.

Mengikut perjanjian itu, HUSM bersetuju untuk menjadi tempat latihan praktikal pelajar diploma kejururawatan kedua-dua kolej berkenaan dalam tempoh masa lima tahun.

Pelajar kedua-dua kolej itu juga akan dibenarkan menggunakan peralatan dan kemudahan yang terdapat di HUSM semasa menjalani latihan praktikal mereka di situ. Tempoh latihan klinikal ialah selama 10 minggu bagi setiap pelajar.

HUSM sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), UiTM, kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM), Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) dan Kolej Perubatan Perak (PMC).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Post a Comment